Diriwayatkan Luqman telah berkata kepada anaknya:

1. Anakku, suruhlah orang melakukan kebaikan, tegahlah kemungkaran dan sabarlah kamu atas segala yang menimpa. Anggapkan musibah itu sebagai benda yang ringan, muhasabahlah kesalahan-kesalahanmu dan ketahuilah olehmu tentang kesusahan-kesusahan. Jika engkau telah mengetahuinya maka engkau akan menjaga dirimu.

2. Wahai anakku, ingatlah Allah banyak-banyak, sesungguhnya Allah mengingati orang-orang yang mengingati-Nya. Anakku, ingatlah dosa-dosamu yang telah dilakukan dan perbuatan-perbuatanmu. Larilah kepada Allah daripada dosa-dosa dan janganlah kamu menganggap amalan baikmu sudah banyak. Taatilah Allah kerana sesiapa yang mentaati-Nya, Allah akan selesaikan setiap urusannya dan melindunginya daripada makhluk-makhluk-Nya.

3. Anakku, janganlah engkau cinta dunia kerana engkau tidak dicipta untuk dunia dan Allah tidak mencipta sesuatu pun yang lebih hina daripada dunia. Allah tidak menjadikan nikmat-nikmat dunia itu sebagai pahala bagi yang taat dan Dia tidak pula menjadikan bala sebagai balasan kepada yang derhaka.

4.Anakku, janganlah engkau gembira dengan kesihatan yang berpanjangan dan sembunyikanlah kesusahan yang menimpamu. Ia merupakan perbuatan yang terpuji. Dan sabarlah atas kesusahan. Ia adalah bekalan pada tempat kembalimu.

5. Anakku, cukuplah dengan yang sedikit dan redhalah dengan apa yang kamu dapat. Janganlah engkau menoleh ke arah apa yang diperolehi oleh orang lain kerana itu akan menyusahkanmu. Anakku, puasalah dan tutuplah mulutmu daripada makanan-makanan dan penuhilah ia dengan hikmah-mikmah.

6. Anakku, bersahabatlah dengan orang-orang bijaksana dan redhalah dengan apa yang mereka kata, nescaya kamu akan menjadi bijaksana.

7. Anakku, bercakaplah dengan kata-kata yang baik dengan orang lain dan duduklah dengan ahli-ahli zikir kerana ia menghidupkan hatimu dan menerbitkan dalam diri rasa khusyuk.

8. Anakku, laksanakanlah hajat-hajat sekadar yang perlu dan elakkan daripada perkara yang tidak berkaitan denganmu. Janganlah jadi seorang yang suka ketawa pada perkara-perkara yang tidak perlukan ketawa dan tidak suka berjalan tanpa keperluan. Jadilah seorang yang lembut, suka kepada kebaikan, suka berfikir, sedikit bercakap melainkan pada perkara-perkara yang hak, selalu menangis dan sedikit sahaja gembira. Jangan bergurau senda, jangan kelam kabut dan janganlah mengumpat. Apabila engkau senyap jadilah senyap itu berfikir. Apabila berkata, biarlah yang baik.

9. Anakku, banyakkanlah diam kerana engkau akan dihormati dan engkau tidak akan sekali-kali akan kecewa kerana diam. Tetapi engkau mungkin akan kecewa kerana ketawa.

10. Anakku, janganlah biarkan ayam lebih cerdik daripadamu kerana ia akan kibaskan kepaknya pada waktu malam dan bertasbih pada Allah. Jagalah dirimu daripada cuai. Takutlah Allah dan janganlah kamu tertipu dengan kata-kata si jahil bahawa sesungguhnya ada permata dalam tanganmu sedangkan kamu tahu ia adalah tahi unta.

11. Manfaatkanlah apa yang Allah ajarkan kepadamu. Seorang ‘alim tidak sama dengan seorang jahil. Dan sebaik-baik ilmu adalah yang memberi manfaat dan sebaik-baik ilmu adalah yang diikuti. Allah memanfaatkan ilmu bagi yang mengikutnya.

12. Anakku, sepandai-pandai manusia adalah yang paling takut pada Allah. Pelajarilah kebaikan dan ajarkanlah ia. Manusia sentiasa selamat apabila yang datang dahulu mengajar yang datang kemudian. Kata-kata orang alim adalah seperti mata air yang diperlukan oleh orang ramai yang dimanfaatkan oleh mereka.

13. Engkau hendaklah tawaduk (merendah diri). Setawaduk manusia adalah yang paling tahu tentang Tuhannya dan paling baik amalannya. Ketahuilah sesiapa yang disinari hatinya dengan iman, akan berkata dengan kebenaran lalu memberi manfaat kepada orang lain. Sesiapa yang bercakap tentang kebenaran tapi tidak memberi manfaat kepada dirinya adalah seperti kerosakan yang berlaku. Manusia yang rosak kerana satu perkataan adalah seperti satu percikan api yang membahayakan.

14. Anakku, seorang yang keji apabila berkata-kata akan kelihatan kejahatannya melalui lidahnya dan apabila dia senyap pun, nescaya kejahatannya diketahui juga. Apabila beramal dia merosakkan, apabila melakukan sesuatu dia membinasakannya. Apabila dia tidak perlukan pertolongan dia akan sombong, tetapi apabila dia perlukan pertolongan, dia akan putus asa. Apabila dia gembira dia terlalu seronok dan apabila dia sedih dia marah. Apabila dia berkuasa dia jahat, dan apabila dia lemah dia hina. Apabila dia meminta dia mendesak, dan apabila dipinta dia bakhil. Apabila ketawa dia berlebih-lebihan dan apabila dia diherdik dia kasar. Apabila dia memberi dia mengungkit-ungkit, dan apabila diberi dia tidak bersyukur. Apabila kamu amanahkan sesuatu rahsia kepada dia, dia khianat. Apabila dia pula mengamanahkan sesuatu, dia menuduh kamu. Apabila dia berada di atasmu, dia akan menekanmu, dan apabila dia berkawan denganmu, dia akan menyusahkanmu. Jika kau menjauhkan diri darinya, dia tidak akan memujukmu. Tidak ada kata-kata yang akan menundukkanya dan dia juga tidak tunduk kepada sesiapa pun. Dia tidak akan tenang tanpa mengherdik dan kekerasan. Pengajaran-pengajaran tidak berkesan dalam mendidiknya. Guru-gurunya akan berputus asa dalam mendidiknya, keluarganya akan berasa sedih dengan sikapnya. Apabila dia berada bersama orang yang lebih muda, dia akan mengambil kesempatan untuk kepentingan dirinya. Begitu juga ketika berada dengan seorang tua. Dia tidak akan mengikut petunjuk biarpun dia tahu dan dia tidak akan taat jika disuruh dan tidak akan mengambil apa-apa faedah dengan pergaulannya dan tidak akan mengalah bila diketepikan dan tidak menepati kebenaran apabila bercakap.

15. Anakku, fahamilah erti hikmah dan jadikanlah akhlakmu berhikmah.dan pentingkanlah ia. Matamu akan sejuk bila kau telah mementingkannya dan ketahuilah bahawa hikmah itu hanya ada dalam kelembutan. Lidah adlah pintu kepada hikmah. Apabila tiada, masuklah dalam hati apa yang tidak kamu ingini. Jika kamu menjaga pintu, kamu menjaga simpanannya.

16. Anakku, kanapakah engkau menghilangkan hartamu sendiri dan memperbaiki harta orang lain. Anakku, sesiapa yang tidak mengasihani tidak akan dikasihani dan siapa yang diam, dia selamat. Siapa yang buat baik akan selamat. Siapa yang buat jahat pasti menyesal. Siapa yang membenci kejahatan akan selamat. Siapa yang tak menjaga lidahnya akan rugi. Anakku, jadilah orang yang mudah digauli, manis muka dan itulah dia akhlak orang-orang soleh.

17. Anakku, elakkanlah daripada menolak permintaan orang lain dan terimalah keuzuran yang diminta oleh orang lain. Janganlah engkau tertipu dengan kebaikanmu walaupun banyak kerana engkau tidak tahu adakah ianya diterima atau tidak.

18. Anakku, tidak ada yang lebih bernilai di sisi Allah, lebih daripada akal. Akal itu tidak sempurna sehingga ada padanya 10 sifat iaitu:

  1. Takutkan Allah
  2. Tidak Takabbur
  3. Harapkan Hidayah
  4. Makanan adalah sekadar keperluan
  5. Tawaduk lebih disukainya
  6. Tidak takut melakukan kebaikan sepanjang hidupnya
  7. Tidak bergantung pada orang lain dalam hajat-hajatnya
  8. Merasa banyak kebaikan orang
  9. Rasa sedikit kebaikan sendiri
  10. Melihat orang lain lebih baik daripadanya dan dia sendiri lebih buruk daripada mereka.

19. Wahai Anakku, selalulah bertemu ulama dengan kedua kakimu, janganlah engkau berbahas (berlawan kata) dengan mereka, nescaya mereka akan membencimu. Ambillah daripada dunia sekadar keperluan dan infaqlah (sedekah) daripada hasil-hasil pendapatanmu untuk akhiratmu. Janganlah menolak dunia sekeras-kerasnya sehingga engkau menjadi miskin dan beban pada orang lain. Puasalah satu hari yang dapat melemahkan nafsu syahwat, tapi jangan puasa hingga kamu tidak mampu solat (kerana letih) kerana solat lebih utama daripada puasa. Jadilah bapa pada anak-anak yatim, suami pada janda-janda yang susah (menolong mereka) janganlah engkau berkawan dengan orang yang bodoh dan janganlah berkawan dengan orang-orang menjadi talam dua muka.

rujukan: Buku Anakku Hebat, Anakku Soleh, Ustaz Zahazan

[/et_pb_text][/et_pb_column][/et_pb_row][/et_pb_section]


Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *