9 Tips Untuk Memudahkan Anak Tidur Di Waktu Malam

9 Tips untuk memudahkan anak anda tidur

Sebagai ibubapa pasti anda tahu betapa mencabarnya untuk memastikan kanak-kanak masuk tidur dan berada di tempat tidur mereka. Ia bukan tugas yang mudah, tetapi ia adalah perkara yang sangat penting yang mesti anda lakukan untuk mereka.

Apabila kanak-kanak tidak mendapat tidur yang cukup, mereka akan mengalami masalah untuk mengawal emosi, mudah marah, cepat menangis, hiper, menjengkelkan sehingga orang lain menjadi rimas, sukar memberi perhatian, sukar belajar dan boleh menyebabkan berat badan berlebihan. Jadi walaupun sukar, sangat penting untuk kanak-kanak mendapat tidur yang cukup.

Menetapkan rutin tidur kanak-kanak memainkan peranan yang penting bagi memastikan kanak-kanak mendapat tidur yang cukup dan berkesan. Apabila anda menetapkan tabiat tidur anak dengan baik, ia dapat membantu anak-anak anda melelapkan mata, terus tidur lena seterusnya mampu bangun dalam keadaan yang segar dan rehat yang mencukupi. Ia juga dapat mengurangkan tekanan dan stress.

Tiada satu peraturan yang khusus untuk waktu tidur ini, dan setiap kanak-kanak juga berbeza-beza. Jadi, apa yang penting adalah anda cipta satu rutin tidur yang sesuai dengan keluarga anda dan anda patuh dengan apa yang anda rancang. Berikut adalah 9 tips untuk bermula:

 

1. Jadikan tidur keutamaan keluarga anda.

Tetapkan bilakah waktu untuk tidur dan bangun untuk semua ahli keluarga. Kemudian pastikan semua mengikuti rutin tersebut – walaupun pada hujung minggu atau cuti. Kanak-kanak mendapat tidur yang cukup jika mereka mengambil masa 15 hingga 30 minit untuk melelapkan mata, mudah untuk bangun dari tidur dan tidak mengantuk di siang hari.

 

2. Atasi masalah tidur.

Masalah tidur ini termasuk sukar melelapkan mata, berdengkur, berangan-angan, enggan untuk tidur, sukar bernafas ketika tidur seperti bernafas laju atau bernafas berat terutamanya ketika kurang sihat dan sebagainya. Berjumpalah dengan doktor untuk nasihat pemeriksaan lanjut jika perlu supaya tidur anak-anak tidak terganggu.

 

3. Bekerjasama

Penting untuk anda berbincang dan merancang strategi tidur anak anda bersama pasangan anda. Bekerjasama dan lakukan secara konsisten apa yang telah dirancang. Jika hanya satu pihak sahaja yang berusaha untuk memastikan anak tidur dengan baik, sedang satu pihak lagi hanya memerhati, kemungkinan besar rancangan tidak akan Berjaya kerana pasangan yang tidak terlibat akan lebih memberi muka kepada anak-anak.

Selain pasangan, sertakan sekali anak-anak anda sebagai pasukan anda. Terangkan kepada anak anda rancangan anda jika dia telah cukup dewasa untuk faham. Bagi anak yang masih kecil, penerangan boleh dibuat dalam bentuk gambar atau jadual. Langkah ini akan menjadikan anak anda bersedia.

 

4. Biasakan dengan rutin

Kajian mendapati, rutin tidur yang konsisten membantu anak yang ada masalah tidur yang sederhana. Ia membantu anak anda menjadi mengantuk, seperti mana orang dewasa terlelap apabila membaca buku. Ia akan menjadikan anak anda serasi dengan tempat tidurnya dengan perasaan senang, selamat dan selesa.

Tidak ada satu rutin yang sesuai untuk semua kanak-kanak, maka pilihlah rutin yang sesuai dengan anak anda disamping perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum tidur seperti memberus gigi, membersihkan diri, minum air dan membaca doa sebelum tidur. Apapun rutin yang anda ingin lakukan, pastikan ianya tidak lebih daripada 30 minit.

 

5. Gabi (supper) sebelum tidur

Kanak-kanak memerlukan sekurang-kurangnya 3 hidangan sehari untuk memastikan mereka dalam keadaan kenyang. Maka sedikit makanan sebelum tidur dapat memastikan mereka kekal kenyang semasa tidur (tidaklah terjaga tengah malam mencari nasi). Berikan makanan yang sihat seperti buah-buahan atau biskut. Tetapi jangan terlalu banyak sehingga terlalu kenyang yang boleh mengganggu tidur mereka.

 

6. Pakaian dan suhu bilik.

Semua orang perlukan tempat tidur yang selesa dan tidak semestinya sejuk. Biasanya diwaktu malam suhu menjadi lebih sejuk, jadi pakaikan anak-anak anda pakaian yang sesuai. Ini kerana kanak-kanak biasanya akan menendang selimut mereka semasa tidur. Jadi apabila mereka berpakaian lengkap, walaupun diluar selimut, mereka tidak akan kesejukan. Dicuaca panas, pastikan pakaian yang dipakai bersesuaian iaitu lebih longgar dan nipis.

 

7. Suasana tidur

Pastikan suasana tempat tidur gelap dan sunyi. Jika anak anda tidak suka gelap, anda boleh pasang lampu tidur, ataupun biarkan lampu di ruang tamu atau dapur menyala dan biarkan pintu bilik sedikit terbuka.

 

8. Barangan yang memberi rasa selamat.

Waktu tidur ertinya waktu berpisah dengan anda, jadi anda boleh berikan barangan yang menjadikan anak anda berasa selamat contohnya patung beruang, bantal peluk, mainan lembut yang boleh menemami anak anda. Ia boleh membantu anak anda untuk tidur dengan baik.

 

9. Satu perkara akhir

Anak anda akan sentiasa meminta satu perkara  terakhir sebelum tidur, contohnya nak baca satu cerita lagi, nak minum air, nak ke tandas, nak mandi dan bermacam-macam permintaan yang lain. Permintaan tersebut adalah untuk menangguhkan waktu tidur. Maka disini anda perlu bertegas untuk tidak melayan kesemua permintaan terakhir mereka.

Jika anak anda terjaga, anda tidak perlu bersuara, hanya pimpin anak anda masuk semula ke tempat tidurnya dan baringkan dia semula. Teguran atau melayan permintaan anak anda hanya akan mengaktifkan semula anak anda.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, lakukanlah rancangan anda dengan konsisten dan bekerjasamalah dengan pasangan anda bagi memastikan anak anda tidur pada masanya dan bangun pada masanya. Ajarkan anak anda doa sebelum tidur dan doa bangun tidur. Selain itu, anda juga boleh mengamalkan doa untuk memudahkan tidur.

Semoga Bermanfaat.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *