Kesan Teknologi kepada Perkembangan Anak Kecil: Baik atau Buruk?

Hampir setiap ibubapa moden memberi anak kecil mereka tablet atau telefon pintar (smartphone) sebagai hiburan untuk beberapa ketika. Peranti ini menjadi pilihan ibubapa kerana ia kecil dan mudah dibawa dan tidak begitu berbahaya apabila diberi kepada anak kecil sekali-sekala. Tapi jika diberikan kerap kepada anak kecil, adakah ia boleh menganggu perkembangan anak kecil anda?

 

Perkembangan Bertutur (Bercakap)

Satu dapatan kajian baharu pada 2017 oleh Pediatrics Society Meeting menemui satu hubungkait. Kajian dijalankan kepada 900 kanak-kanak menggunakan data laporan ibubapa tentang tempoh anak mereka melayari peranti (masa skrin). Ibubapa melaporkan berapa lamakah masa yang mereka berikan kepada anak mereka yang berusia 18 bulan untuk menggunakan peranti

Kemudian, pengkaji membuat penilaian terhadap perkembangan kanak-kanak ini. Menggunakan maklumat yang diterima daripada ibubapa, mendapati 20% daripada anak-anak ini mendapat hampir 30 minit masa skrin setiap hari. Apabila ada sesetengah keluarga yang memberikan masa skrin yang lebih daripada 30 minit, kebarangkalian untuk anak ini terdedah kepada speech delay (lambat bercakap) adalah hampir 50%.

Selain itu, pengkaji Dr Catherine Birken turut risau dengan hasil dapatan ini dan menggesa ibubapa untuk berhati-hati. Kajian ini masih perlu kepada kajian lanjut untuk mendapatkan hasil yang lebih tepat. Menariknya, hasil kajian ini hanya menemui hubungkait antara masa skrin dengan perkembangan pertuturan, tidak pada perkembangan yang lain.

 

Interaksi keluarga

Satu kebimbangan para doktor terhadap anak kecil dan teknologi adalah interaksi mereka dengan orang lain. Bayi dan kanak-kanak yang berumur bawah 3 tahun belajar dengan cara meniru orang lain. Oleh yang demikian, teknologi boleh mengganggu masa anak kecil ini memerhati dan meniru orang lain, yang menjadi penyebab speech delay.

Tambahan lagi, masa skrin juga boleh mengganggu waktu mengeratkan hubungan antara anak kecil dengan ahli keluarga yang lain. Apabila masa yang ada digunakan untuk melayari peranti, sungguhpun untuk aplikasi pendidikan, mereka lebih banyak masa bersama peranti berbanding bersama ahli keluarga, adakalanya mereka akan bergaduh kerana berebut untuk menggunakan peranti pintar. Peranti menjadi lebih rapat berbanding ahli keluarga.

Selain daripada itu, penggunaan tablet dan telefon pintar oleh ibubapa juga mengganggu waktu mengeratkan hubungan antara ibubapa dengan anak mereka. Dalam satu kajian kecil yang diterbitkan oleh American Academy of Pediatrics, membuat kajian terhadap 55 waris di restoran.

Kajian mendapati, 70% daripada waris anak-anak ini menggunakan telefon pintar semasa makan bersama dengan anak-anak mereka. Pengkaji juga memerhatikan reaksi kedua-dua pihak (waris dan anak kecil). Mereka mendapati anak-anak lebih cenderung untuk membuat aktiviti sendiri atau membuat kacau untuk mendapatkan perhatian. Di pihak waris, mereka lebih cenderung untuk bertindak kasar terhadap anak-anak kecil ini.

Orang dewasa sepatutnya perlu mengurangkan masa dengan peranti mereka terutamanya apabila bersama dengan anak-anak mereka. Kanak-kanak sepatutnya perlu melakukan aktiviti sesama mereka secara fizikal dan bermain secara aktif, bukannya bermain dengan alatan teknologi. Walaupun masih banyak kajian yang perlu dijalankan untuk membuktikan kesan buruk teknologi kepada kanak-kanak, namun kita masih perlu berwaspada dan peka.

 

Teknologi dalam Pendidikan

Diperingkat ini, mungkin ibubapa sudah mula risau untuk menggunakan teknologi dalam kelas atau mungkin dirumah sebagai medium pendidikan. Beberapa tahun kebelakangan ini, kajian mendapati penggunaan teknologi dalam pendidikan memang membantu pembelajaran anak-anak. Teknologi menyediakan bahan yang berwarna-warni, imej menarik dan interaksi yang kanak-kanak suka.

Pada tahun 2012, satu kajian kecil yang dijalankan di Maine terhadap pelajar tadika menunjukkan peningkatan yang cepat dalam literasi apabila menggunakan iPad. Kajian ini dijalankan terhadap 16 kelas tadika, iaitu seramai 129 orang pelajar menggunakan iPad sebagai alatan bantu belajar. Manakala selebihnya belajar menggunakan kaedah tradisional.

Selepas 9 minggu, pelajar yang menggunakan iPad mendapat skor yang lebih tinggi dalam ujian literasi berbanding pelajar yang menggunakan kaedah tradisional.

Kuncinya disini adalah, kanak-kanak ini menggunakan teknologi pendidikan secara khusus untuk meningkatkan kemahiran mereka. Tambahan pula, kemahiran asas bertutur dan skil motor kanak-kanak ini telah berkembang dan telah bersedia. Maka, penggunaan teknologi diusia ini dapat membantu mereka belajar dengan lebih efektif terutamanya anak-anak yang jenis Visual.

Dalam masa yang sama, ibubapa dan guru masih juga perlu berhati-hati untuk tidak memberi peranti kepada kanak-kanak ini sebagai penenang atau hiburan. Tindakan memberi masa skrin tanpa kawalan masih boleh memberi kesan terhadap interaksi dan kemesraan sesame ahli keluarga.

 

Kesimpulan

Kesimpulannya, kanak-kanak perlu dijauhkan daripada teknologi supaya mereka boleh berinteraksi dengan ahli keluarga dan bermain secara aktif dengan lebih baik. Apabila mereka sudah bersekolah, mereka boleh mendapat manfaat daripada penggunaan teknologi dalam pembelajaran kerana di umur tersebut mereka sudah bersedia. Namun jika diberi terlalu awal, kajian menunjukkan perkembangan mereka akan terganggu. Ahli keluarga juga perlu lebih banyak meninggalkan peranti mereka dan gunakan masa tersebut dengan berkualiti untuk bersama ahli keluarga yang lain. Dengan itu, hubungan kekeluargaan akan lebih erat dan masing-masing boleh meneroka cara menggunakan masa yang berkualiti.

Rujukan asal


Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *