Sebagai surirumah sepenuh masa, agak kelakar jika dikenang bilangan buku-buku keibubapaan yang sempat dibaca, memang sedikit. Entahlah, mungkin kerana terlalu ‘sibuk’ melayan kerenah anak-anak sehingga masa untuk membaca pun tidak dapat disediakan. Satu hari, saya terjumpa satu infografik yang entah bagaimana saya boleh tertarik dengannya. Infografik tentang 4 jenis personaliti kanak-kanak. Ia sangat menarik minat saya.

Anak-anak memang unik, walaupun mereka lahir daripada rahim yang sama, tetapi personaliti mereka sangat berbeza. Ada yang kuat menangis, ada yang suka melompat, ada yang suka menjerit, ada yang suka merajuk dan macam-macam lagi. Kadang-kadang pening juga melayan mereka.

Berbalik kepada infografik tadi, ia adalah ringkasan visual kepada buku bertajuk “The Child Whisperer” tulisan Carol Tuttle. Menariknya beliau menyatakan secara umum, ada 4 kategori kanak-kanak dan ia dibezakan dengan “profil tenaga” anak-anak itu. Apa yang menarik, bila dibandingkan 4 jenis anak-anak ini dengan personaliti anak-anak saya, saya rasakan apa yang penulis ini sampaikan macam kena saja dengan anak-anak saya.

Mungkin anda pun nak tahu kan apakah 4 jenis personaliti yang dimaksudkan.

Teruskan membaca

4 Jenis Personaliti Anak-anak

Walaupun anak-anak boleh memilik ke semua jenis personaliti yang ada, namun mereka akan memiliki satu personaliti yang dominan pada diri mereka.

Jenis 1 : Si Ceria dan Penyayang (The Fun-Loving Child)

Anak yang ceria dan penyayang adalah seorang riang, menyerlah dan suka bergaul. Mereka mempunyai banyak idea, suka bermain dan aktif. Kadang-kadang tenaga yang mereka miliki selalu dipersalahkan kerana tidak mampu untuk duduk diam dan suka menyampuk cakap orang sebab mereka juga ingin berkongsi idea mereka. Tetapi jika ibubapa menganggap tenaga mereka sebagai satu anugerah dan bukannya kelemahan, mereka boleh membesar menjadi seorang yang kreatif dan cemerlang.

Motto hidup anak yang ceria dan penyayang ini adalah “Aku ada idea baharu dan aku boleh melakukannya

Beberapa petanda anak anda mungkin jenis Ceria dan Penyayang
  • Mereka memiliki perasaan ingin tahu yang tinggi, suka untuk sentuh sesuatu dan suka meneroka
  • Mereka suka buat bising, ketawa dan bermain
  • Kreatif dan suka berimaginasi
  • Suka membantu orang lain dan suka jika orang yang dibantu itu gembira
  • Memiliki ramai kawan atau mudah untuk berkawan
Cara terbaik untuk mengeratkan hubungan dengan Si Ceria dan Penyayang:
  • Puji idea-idea menarik mereka dan galakkan mereka untuk berkongsi idea mereka dengan rakan-rakannya.
  • Biarkan mereka melakukan dahulu apa yang mereka mahu lakukan dan perlahan-lahan ubah fikiran mereka jika perlu. Mereka sedang meneroka sesuatu yang dirasakan mereka berguna.
  • Bermainlah bersama mereka. Cuma untuk jadi kanak-kanak sekejap untuk mereka, dan melompat-lompatlah bersama mereka atau sertai permainan kreatif mereka.
  • Bersyukurlah kerana anak ini telah membawa tenaga positif dalam keluarga anda
  • Berikan sedikit kebebasan untuk anak anda meneroka dan mencuba idea kreatif mereka.

 

Jenis 2 : Si Sensitif (The Sensitive Child)

Anak yang sensitif secara semulajadi seorang yang tenang dan mudah untuk berurusan. Mereka selalu digelar sebagai “pendamai” dalam keluarga kerana mereka tidak suka kepada konflik. Anak yang sensitif ini sangat beremosi, lembut dan mudah tersentuh. Mereka juga agak pendiam dan selalu diminta untuk bercakap lebih kuat ataupun sering disuruh untuk ‘cepat’. Mereka suka melakukan sesuatu mengikut masa mereka sendiri.

Ibubapa kadangkala akan menjadi geram dengan anak jenis ke-2 ini, jika disuruh berbuat sesuatu, selepas 15 minit, mereka masih belum siap. Apabila anda tahu anak anda memiliki personaliti sensitif, ia memudahkan anda untuk faham mengapa anak anda melakukan sesuatu.

Motto hidup Anak yang Sensitif ini adalah “Perhatikan dan lihat dulu, kemudian buat perancangan

Beberapa petanda anak anda Jenis yang Sensitif:
  • Seorang yang tenang
  • Manja
  • Seorang yang berhati-hati melakukan sesuatu
  • Mereka suka merancang dan proses merancang itu boleh memakan masa
  • Mereka suka risau tentang sesuatu, mereka ingin tahu apa yang perlu dijangka supaya mereka boleh bersedia
  • Pertengkaran di rumah menjadikan mereka sangat sedih
  • Mereka sensitive dengan pelbagai benda termasuk kebersihan, makanan, pakaian dan lain-lain
Cara terbaik untuk mengeratkan hubungan dengan Si Sensitif
  • Pastikan mereka berasa selamat dan tahu anda ada bersama mereka untuk membantu mereka.
  • Berikan penjelasan yang lengkap. Jika perlu berada disituasi yang luar dari kebiasaan, jelaskan kepada mereka apa yang akan berlaku
  • Sediakan tempat yang tenang untuk mereka. Selalunya di rumah keadaan tidak selalunya aman, maka sediakan ruang atau bilik yang boleh anak sensitive ini berada ketika keadaan tegang.
  • Jangan terlalu memaksa mereka melakukan segera, berikan mereka masa untuk melakukannya.

 

Jenis 3 : Si Tegas (The Determined Child)

Anda pasti sedar jika anda mempunyai anak yang Tegas ini kerana mereka antara yang paling menonjol. Anak yang Tegas ini secara semulajadi lebih lasak secara fizikal, aktif dan… agak degil. Mereka mempunyai sifat suka untuk melakukan sesuatu perkara sehingga selesai dan mesti dengan cara yang mereka tetapkan. Anak jenis ke-3 ini selalu disuruh untuk ‘bertenang’, ‘sabar’ dan ‘jangan minta macam-macam’.

Motto hidup anak yang Tegas ini adalah “Buat sampai habis

Beberapa petanda anak anda mungkin Anak Jenis yang Tegas
  • Mereka tetap pendirian dan keinginan
  • Bercita-cita besar untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa.
  • Mereka sangat aktif dan sukakan cabaran, sentiasa bersedia untuk melakukan sesuatu dan meneroka
  • Ingin mencuba jawatan kepimpinan di sekolah, rumah dan tempat kerja
  • Mampu memotivasikan diri sendiri berbanding dimotivasikan orang lain
  • Boleh menjadi lantang, suka memaksa, dan berterus terang (kadangkala suka cakap lepas)
Cara terbaik untuk mengeratkan hubungan dengan Si Tegas
  • Cuba untuk tidak menggunakan kedegilan anda untuk menundukkan kedegilan anak anda
  • Berikan sedikit kebebasan kepada anak anda meneroka berbanding melarang mereka setiap masa.
  • Menyokong usaha mereka apabila mereka sedang melakukan sesuatu yang baik.
  • Segera nasihati mereka apabila mereka sudah melampau (terlalu buas, terlalu jujur, terlalu memaksa dan sebagainya) supaya mereka tahu akan batasan perbuatan mereka.
  • Bina keyakinan dan minat mereka dengan galakkan daripada anda
  • Jangan terus menghalang mereka, tetapi suruh anak berfikir apakah kesan jika dia melakukan perkara yang dia ingin lakukan itu.

 

Jenis 4: Si Serius (The Serious Child)

Anak yang serius adalah anak yang logikal, suka berdikari, dan fokus. Biasa kelihatan matang lebih daripada umurnya. Suka menentukan sendiri semua perkara dan sentiasa mahu semuanya dibuat dengan sempurna.

Motto hidup Anak yang Serius ini adalah “saya akan kaji, analisis dan jadikan ia lebih baik

Beberapa petanda anak anda mungkin Jenis yang Serius
  • Tidak begitu lincah dan suka bermain seperti kanak-kanak lain
  • Mereka agak rigid dan tidak fleksibel apabila melakukan sesuatu (hanya guna cara yang dia selesa)
  • Seorang yang sukakan kesempurnaan (perfectionist)
  • Idea mereka untuk memperbaiki sesuatu biasanya sering disangka sebagai kritikan
  • Mereka suka menyusun barangan (kereta mainan, pensel warna, dan lain-lain) dalam barisan
Cara terbaik untuk mengeratkan hubungan dengan anak Si Serius
  • Gunakan akal berbanding emosi apabila berinteraksi dengan mereka. Fahami pemikiran mereka berbanding perasaan mereka.
  • Anak yang serius ini ingin dihormati oleh anda; tunjukkan yang anda menghormati pemikiran dan pendapat mereka.
  • Apabila bercakap dengan mereka, gunakan bahasa yang logik yang mereka faham. Kanak-kanak yang biasa akan respon jika kita kata “Mak mesti gembira kalau anak mak ni kemaskan bilik ni” tetapi, bagi anak yang serius, mereka akan respon jika kita kata “Kemaskan bilik ni, kalau mak terpijak mainan kamu nanti, mak jatuh boleh tergeliat kaki
  • Sentiasa meminta pendapat daripada mereka tentang sesuatu. Mereka akan rasa dihargai.

 

Jadi, apakah jenis personaliti anak-anak anda? Anak-anak saya ada jenis pertama, kedua dan ketiga.

Subhanallah, hebatnya ciptaan Allah, menjadikan manusia itu berbeza-beza personaliti dan saling melengkapi antara satu dengan lain. Jadi dengan mengenali personaliti anak-anak, maka kita akan lebih faham dan tahu cara untuk melayani anak-anak yang banyak ragam ini tanpa menyebabkan mereka rasa tersisih. Setiap personaliti ini adalah anugerah, bukannya kelemahan. Maka didiklah mereka sesuai dengan personaliti mereka agar mereka menjadi anak yang soleh dan musleh.

MUSLEHGLORY (9 Jan 2018)

 

 


Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *